Sweet 17 : Happy Birthday For My Grandma:)

Assalamualaikum & salam sejahtera…

birthday.jpg


Pernahkah seorang rakan anda menjemput anda ke majlis neneknya yang ke-17? Apa yang anda akan fikir jika dipelawa begini? Mungkin anda akan berkata bila nenek dia kahwin? Umur 17 tahun dah ada cucu? Atau biar betul member aku ni?Adakah anda percaya jika saya mengatakan ada orang yang bergelar nenek tetapi baru kali ke -17 menyambut hari lahirnya? Mengapa boleh jadi begini? Adakah disebabkan dia kahwin awal?

Ha..ha… Saya tidak akan membiarkan diri anda diselubungi misteri :)

Baiklah hari ini saya akan menjelaskan bagaimana seorang yang sudah bergelar nenek, mungkin umur sudah hampir 70 tahun tetapi baru menyambut hari lahir yang ke -17.

Hari ini hari apa? Berapa hari bulan? Apa istimewanya hari ini?

Hari ini 29 Februari 2008. Istimewanya hari ini ialah hari ini hanya datang sekali dalam masa 4 tahun. Kenapa begitu? Ini kerana hari ini hanya wujud dalam tahun lompat dan tahun lompat hanya datang 4 tahun sekali. Cuba anda bayangkan jika anda lahir pada hari ini, bilakah anda akan menyambut hari lahir anda yang ke 17?

17 x 4 = 68 tahun

Ya! pada umur anda 68 tahun barulah anda akan menyambut hari lahir anda yang ke-17. Mungkin pada waktu itu anda telah mempunyai cucu yang berumur 17 tahun :)

Jadi janganlah terkejut jika ada rakan anda menjemput anda ke majlis hari lahir neneknya yang ke-17 :)

Tahun lompat. Mengapa wujudnya tahun lompat dan bagaimana untuk mengetahui sesuatu tahun itu adalah tahun lompat atau tidak?

Tahun lompat merupakan satu tahun yang mempunyai lebih satu hari berbanding tahun biasa. Biasanya dalam setahun kita mempunyai 365 hari tetapi pada tahun lompat kita mempunyai 366 hari iaitu lebih pada 29 Februari.

Tahun lompat ini diwujudkan bagi memastikan kalendar adalah selaras dengan pusingan bumi mengelilingi matahari atau pun dengan peredaran musim.

Seperti yang kita tahu, tempoh peredaran bumi mengelilingi matahari adalah 365 ¼ hari. Jadi untuk memudahkan pengiraan tahun, setiap empat tahun 1 hari ditambah bagi memastikan pengiraan kalendar adalah tepat.

Untuk mengetahui suatu tahun itu tahun lompat atau tidak, anda hanya perlu membahagikan tahun tersebut dengan 4. Jika ia dapat dibahagikan dengan tepat iaitu tidak berbaki maka tahun tersebut adalah tahun lompat. Jika ia berbaki maka ia bukan tahun lompat.

Contohnya tahun 2008.

2008 ÷ 4 = 502 tiada baki, maka tahun 2008 adalah tahun lompat.

Sekian perkongsian pada kali ini.

Wassalam

Cikgu Farizal

Comments

Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!