April 2008


Petikan dari Berita Harian Online, oleh Syuhada Choo Abdullah

Kekuatan intelek, akhlak aspek ditekan bagi martabat kerjaya

KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, menggariskan lima perkara utama yang perlu diberi fokus sebagai asas kejayaan dan kewibawaan guru.

Katanya, perkara berkenaan ialah kekuatan intelek, kepemimpinan berwibawa, kemurnian akhlak, kesediaan untuk berubah serta minat dan cinta terhadap profesion mereka.

Sambil menegaskan setiap fokus itu saling berkait, melengkapi serta bergerak serentak dan beriringan, beliau berkata, guru harus menghayati dan mengamalkannya bagi memartabatkan profesion keguruan.

“Dari segi kekuatan intelek, guru hendaklah cemerlang melaksanakan tugas asasi mengajar. Proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan menjadi lancar jika guru menguasai kandungan subjek diajar serta berketerampilan dalam kemahiran pedagoginya.

“Di samping itu, guru juga perlu memiliki pengetahuan umum yang baik dan terkini agar mereka kekal relevan dengan tuntutan perubahan semasa,” katanya dalam perutusan sempena Perayaan Hari Guru 2008 bertema ‘Guru Cemerlang Negara Terbilang’ pada 16 Mei ini, menerusi laman web kementerian itu

Sebagai organisasi pembelajaran, Alimuddin berkata, sekolah harus dipimpin dengan cekap serta berkesan oleh pihak diberi amanah yang dalam konteks ini, pengetua, guru besar dan guru penolong kanan adalah ‘pemain utama’

Berikutan bidang kepemimpinan adalah dinamik dan sentiasa berubah, katanya, kepemimpinan sekolah bertanggungjawab melengkapi diri dengan pendekatan, strategi, kaedah dan juga teknik kepemimpinan, pengurusan serta pentadbiran terkini, termasuk model kepemimpinan instruktional.

Seterusnya, beliau berkata, guru pula bertanggungjawab terhadap kepemimpinan P&P serta perkembangan sahsiah pelajar.

Malah sebagai pendidik, katanya, guru harus sedar bahawa mereka menjadi contoh kepada pelajar, ibu bapa dan komuniti.

“Sehubungan itu, peribadi guru hendaklah terdorong kepada berfikiran global, bermentaliti kelas pertama, memiliki `towering personality’ serta tidak terjebak dalam sebarang kes jenayah dan salah laku.

“Keadaan ini sekali gus membolehkan Kementerian Pelajaran meningkatkan kecekapan jentera perkhidmatan dan memartabatkan profesion keguruan.

“Alaf baru menyaksikan gelombang perubahan hasil kemajuan sains, kecanggihan teknologi dan ledakan ilmu. Bagi menangani perubahan serta pembaharuan, guru perlu peka dan sentiasa bersedia untuk turut berubah. Guru harus bersedia untuk ‘learn, relearn and unlearn’ dan menjadi pelajar sepanjang hayat agar kekal relevan,” katanya.

Alimuddin berkata, keperluan dan kepentingan pendidikan menuntut minat serta kecintaan mendalam yang akan mencetus keinginan dan juga dorongan untuk menjalankan tugas secara jujur, ikhlas dan penuh bertanggungjawab.

“Hanya mereka yang memiliki `roh guru’ dapat menjiwai dan menggalas tugas amat berat lagi mencabar ini,” katanya

Dipetik dari utusan online.

PUTRAJAYA 18 April – Kementerian Pelajaran akan menjalankan perubahan radikal terhadap sistem pendidikan sedia ada, termasuk mengkaji kemungkinan memperkenalkan mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris di peringkat sekolah rendah bagi memastikan pelajar menguasai bahasa antarabangsa tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementeriannya tiada pilihan lain tetapi perlu kerja bersungguh-sungguh untuk membolehkan pelajar negara ini sekurang-kurangnya menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

”Kalau kita hendak memperkenalkan mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris atau hendak kaji balik kurikulum pelajaran yang ada, maka kita perlu buat sekarang.

”Saya secara peribadi mahu melihat Kesusasteraan Inggeris diperkenalkan di peringkat sekolah rendah, tetapi ia bagaimanapun bergantung kepada nasihat yang akan diberikan oleh pakar-pakar pendidikan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Apa pendapat anda?

Assalamualaikum dan salam sejahtera….

Mulanya hari ini saya ingin menulis mengenai Buddy System seperti yang diminta oleh Aunty, tetapi idea belum datang, jadi saya tulis dahulu sesuatu yang juga berkaitan dengan PPSMI.

I Teach Science With Out My Heart.

Percayakah anda, sejak mengajar science, saya tidak pernah rasa best. Rasa macam ada yang tak sempurna sahaja, terutama sekali sewaktu memberi penjelasan kepada murid-murid.

Berbeza sewaktu mengajar sains dahulu, walaupun dalam keadaan tidak bersedia, saya amat berpuas hati memberi penjelasan kepada murid-murid. Dan juga memiliki banyak idea dan saya dapat rasakan apa yang saya ingin sampaikan kepada murid. Dan saya begitu gembira.

Mungkin disebabkan kelemahan dalam mengusai bahasa inggeris menyebabkan saya berasa tidak begitu berjaya mengajar science tetapi saya telah berusaha meminimumkan bercakap dan banyak menggunakan course ware yang dibekalkan dan ada juga yang dibeli. Walau pun membuat pelaburan dengan membeli course ware yang seseuai untuk mengajar tetapi saya masih merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Kenapa ya?

Mungkin sewaktu saya mengajar sains hati saya ada bersama tetapi sewaktu mengajar science hati saya tidak dapat bersama.

Ini bukan bermaksud saya tidak ikhlas dalam mengajar tetapi ia membawa maksud yang lain.

Sewaktu mengajar sains dalam bahasa ibunda, saya yakin dan faham apa yang saya ajarkan dan saya yakin dan faham murid yang faham adalah yang benar-benar faham dan murid yang tidak faham adalah benar-benar tidak faham. Jadi saya amat berpuas hati. Dan sewaktu saya menerangkan kepada murid saya menggunakan ayat yang lahir dari hati saya sendiri dan itulah maksud saya hati saya ada bersama.

Berlainan pula sewaktu mengajar science, saya mungkin faham dengan apa yang ingin saya terangkan tetapi saya tidak bergitu yakin yang murid-murid saya faham dengan apa yang saya terangkan, terutama apabila mengajar dikelas hujung :(   Sewaktu mengajar, untuk mengelakan dari gugup, langkah terbaik adalah dengan menggunakan script.  Oleh kerana script itu bukan hasil tulisan saya sepenuhnya dan ia juga tidak mengambarkan jalan cerita yang sebenarnya maka pengajaran yang ingin dihasilkan bukan dari keinginan hati sendiri, itu yang dimaksudkan dengan I Teach Science With Out My Heart.

Sudah hampir dua tahun saya mengajar science, saya masih mencari rentak yang sesuai yang boleh membawa hati saya bersama sewaktu mengajar science. Kewujudan blog ini juga merupakan usaha saya untuk kearah itu.

Pandangan anda semua amat dihargai.

Sekian wassalam

Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Alhamdullillah, ringan sedikit rasanya kepala dan batang hidung saya hari ini.

Hari ini, sukan tahunan sekolah saya, dilaksanakan dengan jayanya. Lebih 15 rekod baru dihasilkan. Tahniah kepada mereka yang berjaya.

kesibukan tersebut memaksa saya memasukan artikel dari sumber-sumber lain untuk memeriahkan blog ini. Di sini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat setia blog ini :)

Suku pertama tahun 2008 telah berakhir, sekarang sudah masuk suku ke-2.

Alhamdullillah, dalam suku pertama saya telah berjaya membawa 4 orang pemain catur sekolah ke peringkat negeri untuk acara individu perempuan bawah 10 dan 15 tahun. Walaupun pada peringkat ini tiada satu pingat pun yang berjaya dibawa pulang tetapi peningkat 400% berbanding tahun lalu:)

selain itu, berakhirnya sukan tahunan sekolah, maka tugas saya sebagi naib setiausaha sukan juga berkurangan. Siap sahaja laporan dan post-mortems minggu hadapan, maka selesailah tugas saya bagi tahun ini.

Selain itu, saya juga telah mengupgred blog ini ke versi terkini iaitu versi 2.5

Saya juga telah berjaya membina blog untuk PIBG Sekolah dan sekarang dalam proses menyiapkan panduan untuk menulis dalam blog untuk mereka yang terlibat.

Ok itu sahaja untuk malam ini.

wassalam

TEKNOLOGI sel solar wajar digunakan sebagai sumber alternatif menjana elektrik dalam projek pembestarian sekolah luar bandar untuk memastikan pelajar di kawasan berkenaan tidak ketinggalan dalam pembudayaan teknologi maklumat dan komunikasi.

Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria (Seri) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kamaruzzaman Sopian, berkata teknologi solar lebih praktikal, menjimatkan kos dan masa berbanding kaedah penyambungan grid yang diamalkan ketika ini.

Katanya, aplikasi teknologi itu, sekali gus meluaskan penggunaan tenaga solar di kawasan luar bandar yang kini dimanfaatkan dalam bidang pertanian dan perikanan saja.

“Aplikasi tenaga solar di negara kita kini pada tahap sangat rendah sedangkan ia berpotensi tinggi dimanfaatkan dalam pelbagai bidang terutama sektor perumahan dan pertanian.

“Antaranya, ia dapat memastikan projek pembekalan elektrik bagi sekolah luar bandar dilaksanakan pada kadar segera serta berdaya saing dari segi kosnya.

“Lazimnya, sesebuah sekolah di luar bandar hanya memerlukan bekalan elektrik tiga hingga lima kilowatt saja sehari termasuk untuk operasi makmal komputer dan teknologi, sel solar mampu memenuhi keperluan ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pameran Kereta Solar di Dataran Pusanika UKM, Bangi, baru-baru ini.

Sempena pameran itu, warga Switzerland, Louis Palmer turut mempromosi teksi solar ciptaannya, selain menyampaikan ceramah mengenai kenderaan itu kepada warga universiti.

Sementara itu, Kamaruzzaman, berkata kereta solar antara 20 produk yang berjaya dihasilkan institut itu menerusi kegiatan penyelidikannya.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak dua produk sudah digunakan pihak berkaitan iaitu panel sel solar oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta pengeringan kelapa sawit menggunakan teknologi pengeringan udara solar oleh Felda.

“UKM satu-satunya institusi pengajian tinggi awam yang diberi mandat Kementerian Pengajian Tinggi bagi menubuhkan institut penyelidikan khusus untuk tenaga solar sejak 2005.

“Sejajar itu, kami menerima geran penyelidikan berjumlah RM13 juta daripada pelbagai pihak sepanjang Rancangan Malaysia Ke-9 untuk memajukan teknologi tenaga solar dalam pelbagai bidang terutama pertanian dan perikanan,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Education and Training Blogs - BlogCatalog Blog Directory Directory of Education/Research Blogs Bloggers Directory Blog Directory & Search engine

blogarama - the blog directory