Perkenal aliran vokasional lebih awal - Najib
Filed Under Petikan Akhbar, Utusan Online · Tagged: Add new tag, kemahiran, Petikan Akhbar, teknik, utusan, vokasional
KUALA LUMPUR 30 April , Utusan Online- Kementerian Pelajaran diminta menambah dan memperkenalkan pendidikan aliran vokasional lebih awal bagi mengatasi masalah keciciran 83,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu bagi membolehkan pelajar yang tidak berminat dengan pendidikan akademik meneruskan pengajian mereka dalam bidang latihan vokasional.
Katanya, jumlah pelajar yang tercicir itu adalah kira-kira dua peratus daripada 5 juta pelajar sekolah di negara ini.
“Dalam sistem kita, kita dapati lebih kurang 83,000 pelajar telah keluar (tercicir) daripada sistem persekolahan dari sekolah rendah sampailah ke tingkatan lima.
“Jadi kita juga sedang beri tumpuan untuk mengurangkan bilangan ini dengan beberapa usaha yang kita hendak lakukan termasuk meminta Kementerian Pelajaran menambah aliran vokasional dan memulakan aliran vokasional lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Pendidikan Dan Latihan, di bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Najib berkata, mesyuarat berkenaan juga bersetuju membuat unjuran guna tenaga untuk keperluan negara secara lebih khusus berdasarkan kategori tertentu.
Katanya, unjuran itu bagi membolehkan semua institusi pendidikan dan latihan menentukan peranan masing-masing bagi menampung keperluan guna tenaga negara.
“Kita ambil kira transformasi ekonomi kita yang menghala kepada perkembangan industri perkhidmatan, oleh itu peranan institusi kita mestilah mengambil kira trend dan aliran sedemikian,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat juga menekankan kepentingan meluaskan kerjasama institusi swasta dalam melatih tenaga kerja negara.
Sehubungan itu katanya, Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) diberi nafas baru apabila kerajaan meluluskan kenaikan elaun bulanan perantis daripada RM200 kepada RM300 sebulan.
“SLDN telah diberi nafas baru di mana kerajaan telah meluluskan kadar elaun RM300 kepada seorang perantis yang mengikuti SLDN melalui syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Dengan itu, program ini akan dapat sambutan yang lebih meluas dan akan menampung keperluan tenaga mahir terutama sekali untuk PKS,” katanya.





Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!