Tiga langkah kekalkan profesionalisme guru
Filed Under Keratan Akhbar · Tagged: berita harian, Keratan Akhbar, Profesionalisme guru, selamat hari guru
Dipetik dari Berita Harian Online seperti ditulis oleh Syuhada Choo Abdullah
Pelbagai insentif, kemudahan dan keistimewaan dinikmati pendidik
KEMENTERIAN Pelajaran melaksanakan tiga langkah khusus bagi mengekalkan momentum perkembangan profesionalisme guru supaya terus lestari dan sentiasa berada pada tahap tinggi.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata langkah berkenaan ialah meneruskan program berkembar latihan perguruan dengan institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara bagi subjek kritikal.
Selain itu, beliau berkata, mengkaji semula beban tugas guru, dan menggalak serta menyebarluaskan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan guru, terutama untuk mengintegrasikannya dalam pengajaran dan pembelajaran.
“Profesion keguruan kini berada pada tahap amat baik. Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran menyediakan pelbagai insentif, kemudahan dan keistimewaan yang dinikmati guru ketika ini.
“Tidak salah jika saya nyatakan bahawa hasrat memartabatkan profesion keguruan berada pada landasan betul dan kukuh, justeru mampu melahirkan warga guru yang menyumbang ke arah kecemerlangan negara.
“Kementerian memilih ‘Guru Cemerlang Negara Terbilang’ sebagai tema sambutan Hari Guru tahun ini. Sejak negara mencapai kemerdekaan hinggalah sekarang, kerajaan tidak pernah mengabaikan warga guru.
“Malah, pelbagai insentif diberi seperti peluang kenaikan pangkat, kenaikan gred jawatan serta pertambahan kuota jawatan untuk guru, termasuk Pengetua Cemerlang dan Guru Cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2008 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Dewan Sri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam.
Hadir sama Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail dan Datuk Dr Wee Ka Siong; serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang.
Seterusnya, Alimuddin berkata, pendekatan telus, prihatin, mesra rakyat dan berwibawa Hishammuddin selaku pemimpin kementerian, banyak membawa pembaharuan bukan saja kepada pembangunan dan perkhidmatan pendidikan, malah meningkatkan rasa bangga serta kasih warga guru terhadap profesion mereka.
Katanya, contoh teladan, budi baik dan jasa Hishammuddin selama ini menjadi pemangkin serta dorongan kepada warga pendidikan untuk terus memberi perkhidmatan terbaik melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh warga guru agar menunjukkan rasa terima kasih dan penghargaan atas segala usaha kerajaan dengan menjadikan kualiti serta kecemerlangan sebagai budaya dan juga identiti profesion keguruan negara.
“Sesungguhnya masa depan dan kelangsungan negara terletak pada tangan generasi muda hari ini yang menjadi modal insan negara.
“Justeru, pendidikan disampaikan perlu berkualiti dan diurus dengan cekap serta berkesan supaya meninggalkan impak positif kepada pembangunan ilmu, kemahiran dan juga akhlak mulia di kalangan anak-anak kita agar mereka mampu bersaing pada peringkat global,” katanya.





Comments
Feel free to leave a comment...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!