Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Sambil mengisi ruang antara waktu sahur dan subuh, saya gunakan masa tersebut untuk melayari internet. Sambil-sambil membaca berita. Ada satu berita yang kurang enak dibaca dari Berita Harian Online. Berikut adalah berita tersebut.

BPR Sarawak tahan guru disyaki rasuah

KUCHING: Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sarawak hari ini menahan seorang guru berusia 43 tahun di sini atas dakwaan mengemukakan invois dan pesanan kerajaan yang mengandungi butir palsu, kata BPR Sarawak dalam satu kenyataan media, di sini.

Menurut BPR, guru terbabit disoal siasat berhubung urusan pembayaran “Bengkel Pembinaan Modul Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Teras UPSR” dari 5 Disember hingga 9 Disember 2006 berjumlah RM14,700 sedangkan kos penganjuran bengkel sebenar hanya RM11,550.

Ketika kejadian suspek adalah seorang Penolong Pengarah di Jabatan Pelajaran Sarawak dan beliau ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 11C Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Kes itu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuching esok manakala suspek dibebaskan hari ini dengan jaminan BPR sebanyak RM10,000 (tanpa deposit) dengan seorang penjamin. – Bernama

Perkara sebegini amat memalukan. Tetapi dalam sedar atau tidak banyak peluang untuk perkara ini dilakukan. Cuma kesedaran kita yang dapat mengatasinya.