| Selamat Datang ke Blog Cikgu Farizal Dot Com. Jika anda pertama kali ke sini, sila langgan rss kami secara percuma supaya anda tidak ketinggalan tulisan-tulisan yang menarik di blog ini. |
Guru Dominasi Pengajaran Punca Pelajar Kurang Kreatif
1,251 views | Filed Under Artikel, Berita Harian Online, Keratan Akhbar · Tagged:
AMALAN pengajaran dan pembelajaran (P&P) memfokus guru antara punca pelajar dihasilkan sistem pendidikan negara ini kurang memiliki kemahiran berfikir dan kreativiti.
Pengerusi Lembaga Penasihat Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin, berkata guru mendominasi proses pembelajaran dalam kelas dengan lebih banyak bercakap berbanding menggalakkan interaksi dua hala dengan pelajar.
Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran, berkata pendekatan itu secara tidak langsung menghasilkan kesan tidak diingini, iaitu pelajar beranggapan guru mahu mereka mendengar saja terlebih dulu dan hanya boleh bertanya soalan apabila disuruh.
Beliau berkata, pembelajaran sehala yang menjadi amalan sistem pendidikan negara sekian lama itu perlu diubah dan bukan salah guru sepenuhnya kerana mereka diletakkan dalam keadaan itu.
Keghairahan mendapat pengiktirafan sekolah terbaik, katanya, juga membuatkan guru berlumba menghabiskan sukatan pelajaran supaya ulang kaji dan latih tubi dapat dilaksanakan bagi memastikan pelajar mencapai sasaran keputusan cemerlang.
Sambil menjelaskan isu kelemahan kemahiran berfikir di kalangan pelajar termasuk yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan sering diketengahkan tokoh pendidik dan wakil industri, beliau berkata:
“Malah keputusan Ujian Aptitud pertama diperkenalkan Kementerian Pelajaran bagi murid Tahun Enam ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini menunjukkan hanya 5.7 peratus mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, manakala 34.34 peratus mempunyai kemahiran
berfikir, mengesahkan lagi perkara ini.
“Pendekatan guru memonopoli pembelajaran dalam kelas dengan mereka saja yang banyak bercakap, malah mengedarkan salinan nota disediakan seolah-olah menyempitkan gaya pemikiran pelajar.
“Lebih parah apabila soalan pelajar tidak diendahkan, sekali gus tidak menggalakkan pemupukan kemahiran berfikir di kalangan pelajar.”
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap utama bertajuk Learned Paralysis: The Unintended Consequences of the Classroom Process pada Persidangan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran Peringkat Pengajian Tinggi 2009 (ICTLHE09) di Kuala Lumpur, kelmarin.
Wan Zahid berkata, dalam memastikan pelajar meraih pencapaian cemerlang akademik, seharusnya pembangunan keseluruhan potensi mereka terutama kemahiran berfikir tidak dikorbankan.
Bagi memastikan perkara itu, katanya, peneraju kepemimpinan sesebuah institusi pendidikan termasuk guru besar dan naib canselor perlu memainkan peranan utama dengan mereka sendiri arif mengenai kaedah P&P berkesan.
Beliau turut memberi contoh kejayaan projek perintis dilaksana Kementerian Pelajaran pada pertengahan 1990-an dalam usaha menghasilkan perubahan dramatik pencapaian sebuah sekolah biasa hingga tersenarai antara sekolah terbaik peringkat kebangsaan.
Katanya, Sekolah Menengah Jalan Bayam, Kelantan pada masa itu hanyalah sekolah biasa, malah dilabel sebagai pusat longgokan pelajar dan guru bermasalah.
“Namun, dengan inisiatif dan kreativiti guru besarnya yang diberi autonomi penuh mentadbir dengan pendekatan tersendiri, sekolah itu berjaya menjadi antara terbaik selepas lima tahun program itu dijalankan.
“Antara pendekatan unik guru besar terbabit yang berjaya melonjak pencapaian sekolah adalah melaksanakan pembelajaran tanpa jadual kelas tetap.
“Selain itu, menggalakkan pelajar mendominasi proses pembelajaran dalam kelas, membabitkan mereka dalam proses penilaian guru serta menjadikan aktiviti kemasyarakatan dan sukan sebagai sebahagian program utama kokurikulum,” katanya.
SUMBER: Berita Harian Online.




on
on 


em..macam-macam..
ada pro dan kontra jugak..kadang2 bila bagi peluang kat pelajar untuk monopoli kelas lain pulak jadinya
pd pendpt sy,kaedah p&p kena tengok sekolah dan pelajarnya..kalau pelajar sek berasrama penuh bolehlah,kalau sekolah harian biasa kena tengok pula kelas yg kebrp..cikgu tersepit atr kehendak yg retorik,mahu pelajar kreatif pd masa yg sama mahukan result yg cemerlang..suk.pelajaran mesti habis seblm julai..tiap kali result keluar,org tak tanya kaedah apa yg cikgu ajar.mrk hanya inginkan result cemerlang.,byk A nya dan 100% lulusnya..bercakap atas kertas mmg mudah,tapi menghadapi karenah pelajar yg seribu satu ragam..sebenarnya amat payah..kita boleh mengemukakan seribu satu mcm teori..pokok pangkalnya bergantung kpd pelajar sendiri..sy menghadapi situasi yang mana cikgu inginkan pelajarnya berjaya namun mrk tak peduli,bg mrk hidup ini mudah,tak lulus exam bukan pengakhir sebuah kehidupan..
Saya amat bersetuju dengan pendapat Cikgu Asrahayu…. 16 tahun tahun mengajar di sekolah cemerlang…saya hanya mencari kaedah & teknik p&p yang membolehkan pelajar meraih A…. tapi di sekolah biasa di mana saya berkhidmat sekarang…walaupun sudah 7 tahun berkhidmat…saya masih mencari-cari bagaimana untuk mencetuskan seterusnya membentuk keinginan belajar dalam diri pelajar yang tidak pedulikan pentingnya belajar…