‘Paksa Rela’ Punca Guru PPSMI Lemah Bahasa Inggeris
Filed Under Keratan Akhbar, PPSMI, Utusan Online · Tagged: BISP, English, Mathematics, PPSMI, Science
KUALA LUMPUR 3 Sept. Utusan Online - Situasi ‘paksa rela’ dikesan sebagai antara punca utama yang menyumbang kepada kelemahan penguasaan bahasa Inggeris oleh guru-guru yang terlibat dalam Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, apabila dasar PPSMI dilancarkan beberapa tahun lalu, ramai guru dikerah menyertai program itu bagi menampung masalah kekurangan tenaga pengajar.
Katanya, keadaan itu merupakan ‘hasil’ daripada dasar PPSMI yang dicadang dan diluluskan secara terburu-buru tidak lama dahulu.
”Keadaan ‘paksa rela’ ini menyebabkan sesetengah sekolah turut mendapatkan khidmat ustaz dan ustazah bagi membantu menyemarakkan usaha PPSMI.
”Justeru, saya tidak nafikan bahawa memang terdapat guru-guru yang tidak fasih berbahasa Inggeris mengajar kedua-dua subjek itu dalam bahasa tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, yang meminta guru-guru berkenaan memanfaatkan sepenuhnya pemberian Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk tujuan itu.
Menurut Razali, pihaknya mendapati ramai guru yang menggunakan BISP mereka untuk tujuan lain, seterusnya membantutkan penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris.
Bagaimanapun Yim Pheng menegaskan, BISP tidak harus dihentikan kerana ia akan mewujudkan rasa kurang senang di kalangan guru-guru.
Katanya, pemberian BISP hanya wajar dihentikan apabila Kementerian Pelajaran dapat menyediakan jumlah guru yang mencukupi untuk PPSMI.
”PPSMI masih dalam fasa percubaan, jadi memang banyak kelemahan yang dikesan,” jelasnya.
Cikgu Farizal: Sejarah lalu usah dikenang, yang penting apa yang perlu kita lakukan sekarang untuk membaiki keadaan ini.
Ramai Guru Sains, Matematik lemah Bahasa Inggeris
Filed Under PPSMI, Utusan Online · Tagged: English, Mathematics, PPSMI, Science
BESUT 2 Sept. Utusan Online - Guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik diminta meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka dengan memanfaatkan sepenuhnya pemberian Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk tujuan itu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, imbuhan yang mereka terima sepatutnya digunakan untuk membeli buku atau menghadiri kelas tuisyen bahasa Inggeris bagi mempertingkatkan penguasaan bahasa itu.
”Ramai guru Sains dan Matematik dikesan menggunakan wang itu untuk tujuan lain menyebabkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan mereka masih di takuk lama,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pengetua dan guru besar serta guru penolong kanan sekolah daerah Besut di sini hari ini.
Razali berkata, sejak Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan, kerajaan telah membayar BISP kepada guru Sains dan Matematik berdasarkan kelulusan iaitu lima peratus tambahan daripada gaji untuk guru berkelulusan ijazah manakala 10 peratus pula untuk mereka yang berkelulusan diploma.
Beliau tidak menafikan PPSMI menghadapi sedikit masalah yang berpunca daripada kelemahan guru dalam menguasai kemahiran bahasa Inggeris untuk mengajar subjek itu.
Razali berkata, setakat ini kerajaan telah membelanjakan hampir RM5 bilion untuk program itu.
- Bernama
Cikgu Farizal :Saya nak guna elaun tu untuk membaiki bahasa Inggeris saya tetapi masa tidak mengizinkan.
122,000 guru Matematik, Sains selesai ikuti ETeMS
Filed Under Artikel, PPSMI · Tagged: English, Etem, Komputer, Laptop, LCD, Mathematic, PPSMI, Science
Petikan dari Berita Harian Online, oleh Syuhada Choo Abdullah
Kementerian tumpu pengukuhan kemahiran melalui kaedah EMS
KEMENTERIAN Pelajaran selesai melaksanakan kursus English for the Teaching of Mathematics and Science (ETeMS) membabitkan kira-kira 122,000 guru mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah seluruh negara.
Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Datin Asariah Mior Shaharuddin, berkata latihan itu dijalankan sejak 2002 sehingga tahun lalu selaras pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Berikutan itu, katanya, kementerian kini menumpukan latihan kepada guru terbabit menerusi program bimbingan dan sokongan, English for Mathematics and Science (EMS), mulai 2007.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengisian program itu memfokus kepada pengukuhan terhadap sebilangan guru yang sudah mengikuti ETeMS tetapi penguasaan mereka masih perlu dipertingkatkan.
“Program ini dijalankan secara ‘on-site’ di mana guru berkenaan akan mengikutinya di sekolah, antara lain menerusi sistem bimbingan taulan membabitkan kerjasama dan bantuan guru subjek Bahasa Inggeris.
“Ini adalah suatu usaha berterusan. Selain itu, BPG turut mengambil inisiatif membina modul khusus kepada mereka.
“BPG menyediakan garis panduan penggunaan modul pembelajaran akses kendiri kepada guru berkenaan mengikut tahap penguasaan masing-masing.
“Tahap itu meliputi tiga modul iaitu permulaan, pertengahan dan lanjutan dengan tema tertentu yang perlu diikuti guru terbabit.
“Dalam konteks ini, pihak sekolah sendiri berperanan mengenal pasti guru yang perlu mengikuti EMS,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya.
Berkaitan perkembangan itu, Asariah berkata, kementerian kini lebih menjurus ke arah pelaksanaan latihan dalam perkhidmatan untuk meningkatkan profesionalisme guru secara berasaskan sekolah.
Sambil menjelaskan pelbagai kaedah digunakan dalam pelaksanaan itu seperti sistem bimbingan taulan dan modul pembelajaran akses kendiri, katanya, langkah terbabit antara lain bertujuan mengurangkan kadar ketiadaan guru di sekolah ekoran menyertai kursus seumpama di luar.
Selain itu, beliau berkata, ia juga sebagai inisiatif sekolah mengenal pasti jenis kursus diperlukan guru mereka, bukan saja bagi pelaksanaan PPSMI tetapi mencakupi semua subjek lain.
“Latihan dalam perkhidmatan ini wajar kerana pengetua dan guru besar lebih maklum aspek latihan peningkatan profesionalisme yang diperlukan guru di sekolah masing-masing.
“Bagi pelaksanaan ini, BPG menyediakan garis panduan dan bantuan diperlukan, selain memperoleh kerjasama daripada pihak jabatan pelajaran negeri serta pejabat pelajaran daerah,” katanya.





