BPR Sarawak Tahan Guru Disyaki Rasuah

Filed Under Keratan Akhbar · Tagged: , , , ,  

Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Sambil mengisi ruang antara waktu sahur dan subuh, saya gunakan masa tersebut untuk melayari internet. Sambil-sambil membaca berita. Ada satu berita yang kurang enak dibaca dari Berita Harian Online. Berikut adalah berita tersebut.

BPR Sarawak tahan guru disyaki rasuah

KUCHING: Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sarawak hari ini menahan seorang guru berusia 43 tahun di sini atas dakwaan mengemukakan invois dan pesanan kerajaan yang mengandungi butir palsu, kata BPR Sarawak dalam satu kenyataan media, di sini.

Menurut BPR, guru terbabit disoal siasat berhubung urusan pembayaran “Bengkel Pembinaan Modul Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Teras UPSR” dari 5 Disember hingga 9 Disember 2006 berjumlah RM14,700 sedangkan kos penganjuran bengkel sebenar hanya RM11,550.

Ketika kejadian suspek adalah seorang Penolong Pengarah di Jabatan Pelajaran Sarawak dan beliau ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 11C Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Kes itu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuching esok manakala suspek dibebaskan hari ini dengan jaminan BPR sebanyak RM10,000 (tanpa deposit) dengan seorang penjamin. - Bernama

Perkara sebegini amat memalukan. Tetapi dalam sedar atau tidak banyak peluang untuk perkara ini dilakukan. Cuma kesedaran kita yang dapat mengatasinya.

Atasi ‘diskriminasi’ guru lulusan IPTA

SERDANG 29 Julai, UTUSAN ONLINE - Kerajaan akan berusaha mengatasi masalah ‘diskriminasi’ yang dialami guru lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dibebankan dengan pelbagai syarat ketat sebelum dibenarkan mengajar di sekolah.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara syarat itu ialah mesti lulus dengan purata gred kumulatif (CGPA) minimum 2.75 sebelum layak mengambil ujian dan ditemuduga untuk jawatan guru.

“Syarat ini yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran perlu dikaji semula memandangkan guru-guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak perlu mematuhinya sebaliknya terus di tempatkan di sekolah.

“Perkara ini seolah-olah menafikan pendidikan dan latihan yang diberikan pensyarah di IPTA dan mengurangkan minat graduan untuk menjadi guru,” katanya dalam ucapan perasmian Program Sekolah Kluster-Universiti dan Seminar Permuafakatan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Tahun 2008 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Idris Haron.

IPG kini melatih guru untuk peringkat prasekolah dan sekolah rendah manakala IPTA memberikan fokus untuk melahirkan tenaga pengajar di sekolah menengah, kolej matrikulasi, kolej komuniti dan politeknik.

KualitiMohamed Khaled yang berharap masalah itu diselesaikan menerusi seminar permuafakatan itu berkata, isu lain yang perlu diatasi ialah berkaitan sebilangan kecil pelajar perguruan di IPTA yang mendapat pembiayaan Kementerian Pelajaran berbanding pelajar di IPG yang semuanya diberikan pembiayaan.

“Kualiti pelajar yang memohon program perguruan juga perlu dilihat semula oleh kedua-dua kementerian kerana berlaku ketidakseragaman syarat asas kemasukan.

“Syarat kemasukan di IPG ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala ke IPTA pula Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau matrikulasi,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalannya, Dr. Wee Ka Siong berkata, sebanyak 60 sekolah kluster akan dijadikan sekolah angkat kepada IPTA menerusi Program Sekolah Kluster-Universiti.

Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan IPTA berperanan sebagai mentor kepada pihak sekolah yang akan dibenarkan menggunakan kemudahan di universiti bagi melakukan penyelidikan dan pengkomersialan ciptaan baru.

“Sekolah angkat ini akan berpeluang menggunakan perpustakaan dan juga terlibat dalam program akademik dan kemasyarakatan anjuran IPTA.

“Sekolah juga akan dapat menggunakan gimnasium, kolam renang dan mendapatkan nasihat pakar pemakanan dan pensyarah sukan yang berkelayakan tinggi di universiti,” jelasnya.

Guru disaran lestarikan kecemerlangan profesion

Petikan dari Berita Harian Online, oleh Syuhada Choo Abdullah

Bidang pendidikan perlu perancangan strategik untuk capai hasil

GURU perlu berfikiran global serta bertindak secara sistematik dan efektif untuk cemerlang, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Selain itu, katanya, mereka juga harus menguasai bidang masing-masing, mengamalkan etika profesion keguruan serta berpandangan jauh.

Beliau berkata, bidang keguruan adalah profesion mulia, manakala proses pendidikan pula lazim mengambil masa panjang untuk melihat hasilnya.

Sehubungan itu, Alimuddin menegaskan, tahap profesional guru perlu dilestarikan, sementara aspek kualiti serta kecemerlangan menjadi identiti profesion ini.

“Perjuangan guru untuk memartabatkan profesion keguruan sentiasa menuntut mereka meningkatkan kualiti perkhidmatan, sama ada dalam menerajui proses pengajaran dan pembelajaran mahu pun mengurus serta memimpin bidang pendidikan.

“Justeru, langkah yang sudah dan sedang diambil untuk memartabatkan profesion keguruan akan hanya memberi makna jika kemudahan serta keistimewaan diberikan kerajaan kepada bidang kerjaya ini memberi impak positif terhadap peningkatan kualiti pendidikan secara keseluruhan.

“Saya menyeru warga guru terus komited terhadap tugas dan tanggungjawab dengan memberi khidmat terbaik sepanjang tempoh perkhidmatan masing-masing,” katanya dalam kata alu-aluan menerusi laman web Kementerian Pelajaran sempena sambutan Perayaan Hari Guru 2008, 16 Mei ini.

Alimuddin berkata, tema perayaan Hari Guru kali ini ‘Guru Cemerlang Negara Terbilang’, melambangkan hasrat dan harapan Kementerian Pelajaran terhadap guru untuk menjayakan agenda pembangunan dan kemajuan negara menerusi pendidikan.

Dalam konteks ini, beliau berkata, matlamat dan objektif teras strategik Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 menuntut komitmen tinggi.

Katanya, matlamat dan objektif berkenaan meliputi menyediakan perkhidmatan pendidikan berkualiti untuk semua, membangunkan sebuah sistem pendidikan bermutu pada taraf dunia serta menjana modal insan negara.

“Tanpa komitmen, matlamat dan juga objektif digariskan dalam PIPP itu tidak mungkin akan dapat dicapai sepertimana diharapkan,” katanya.

Penegasan itu sejajar penekanan sama diberikan Alimuddin dalam perutusan Hari Guru kali ini bahawa pendidikan adalah bidang mulia dan penting, malah menjadi asas pembangunan insan serta tamadun, selain wadah keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran.

Katanya, pendidikan juga ialah bidang dinamik serta penuh cabaran, di mana ia menuntut perancangan strategik yang teliti dan pragmatik, perbelanjaan besar dan juga jentera pelaksanaan cekap.

“Pendidikan sentiasa terdedah dan terpengaruh dengan tuntutan perubahan selaras perkembangan semasa. Oleh itu, negara akan hilang daya saing, ketinggalan serta terpinggir dari kemajuan global jika bidang pendidikan tidak menjadi keutamaan atau tidak diuruskan secara cekap dan berkesan,” katanya.

Next Page »