Oleh Amir Hamzah Nordin
upen@bharian.com.my

MAJLIS Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia mengulangi pendirian bahawa pihaknya tetap menolak pelantikan Pegawai Tadbir dan Diplomatik dalam sistem pentadbiran Kementerian Pelajaran.

Pengerusinya, Jemale Paiman, berkata perkara itu satu daripada beberapa ketetapan yang diputuskan majlis berkenaan dalam pertemuan wakil 24 kesatuan dan persatuan guru di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Selain ketetapan yang juga terkandung dalam Deklarasi Kota Bahru yang diputuskan sebelumnya, beliau berkata, antara ketetapan lain ialah ialah penstrukturan pegawai di jabatan pelajaran negeri (JPN) dan pejabat pelajaran daerah (PPD) harus mengambil kira pandangan persatuan dan kesatuan guru sebelum ia dilaksanakan.

Beliau yang juga Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia berkata, pihaknya tidak mahu berlaku salah faham dan pertindihan jawatan serta tugas yang membawa gangguan dalam sistem pentadbiran di peringkat kementerian, JPN dan PPD.

“Selain itu, semua pegawai sama ada di kementerian, JPN mahupun PPD perlu dikekalkan di tempat sekarang walaupun dinaikkan ke gred lebih tinggi.

“Kepakaran pegawai berpengalaman ini amat diperlukan bagi memajukan sistem pentadbiran pelajaran. Penempatan semula yang tidak sesuai akan menjejaskan integriti mereka,” katanya kepada Berita Harian.

Jemale berkata, ketetapan seterusnya ialah menolak Peperiksaan Tahap Kecekapan bagi memberi peluang pegawai dan guru berpengalaman yang ketinggalan dalam perjawatan naik pangkat kerana tidak mencapai tahap minimum dalam penilaian berkenaan.

(more…)