Atasi ‘diskriminasi’ guru lulusan IPTA
Filed Under Keratan Akhbar, Utusan Online · Tagged: Guru, Keratan Akhbar, pendidik, Utusan Online
SERDANG 29 Julai, UTUSAN ONLINE - Kerajaan akan berusaha mengatasi masalah ‘diskriminasi’ yang dialami guru lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dibebankan dengan pelbagai syarat ketat sebelum dibenarkan mengajar di sekolah.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara syarat itu ialah mesti lulus dengan purata gred kumulatif (CGPA) minimum 2.75 sebelum layak mengambil ujian dan ditemuduga untuk jawatan guru.
“Syarat ini yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran perlu dikaji semula memandangkan guru-guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak perlu mematuhinya sebaliknya terus di tempatkan di sekolah.
“Perkara ini seolah-olah menafikan pendidikan dan latihan yang diberikan pensyarah di IPTA dan mengurangkan minat graduan untuk menjadi guru,” katanya dalam ucapan perasmian Program Sekolah Kluster-Universiti dan Seminar Permuafakatan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Tahun 2008 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Idris Haron.
IPG kini melatih guru untuk peringkat prasekolah dan sekolah rendah manakala IPTA memberikan fokus untuk melahirkan tenaga pengajar di sekolah menengah, kolej matrikulasi, kolej komuniti dan politeknik.
KualitiMohamed Khaled yang berharap masalah itu diselesaikan menerusi seminar permuafakatan itu berkata, isu lain yang perlu diatasi ialah berkaitan sebilangan kecil pelajar perguruan di IPTA yang mendapat pembiayaan Kementerian Pelajaran berbanding pelajar di IPG yang semuanya diberikan pembiayaan.
“Kualiti pelajar yang memohon program perguruan juga perlu dilihat semula oleh kedua-dua kementerian kerana berlaku ketidakseragaman syarat asas kemasukan.
“Syarat kemasukan di IPG ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala ke IPTA pula Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau matrikulasi,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalannya, Dr. Wee Ka Siong berkata, sebanyak 60 sekolah kluster akan dijadikan sekolah angkat kepada IPTA menerusi Program Sekolah Kluster-Universiti.
Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan IPTA berperanan sebagai mentor kepada pihak sekolah yang akan dibenarkan menggunakan kemudahan di universiti bagi melakukan penyelidikan dan pengkomersialan ciptaan baru.
“Sekolah angkat ini akan berpeluang menggunakan perpustakaan dan juga terlibat dalam program akademik dan kemasyarakatan anjuran IPTA.
“Sekolah juga akan dapat menggunakan gimnasium, kolam renang dan mendapatkan nasihat pakar pemakanan dan pensyarah sukan yang berkelayakan tinggi di universiti,” jelasnya.
PPSMI: Pandangan pelajar diambil kira
Filed Under Artikel, Blog, Keratan Akhbar · Tagged: etems, Keratan Akhbar, Matematik, math, PPSMI, Science, Utusan Online
KUALA TERENGGANU 20 Julai, UTUSAN ONLINE - Kementerian Pelajaran bersedia menerima pandangan dan teguran daripada pelbagai pihak termasuk pelajar dalam usaha memantap dan memperkemaskan Pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ismail berkata, pandangan mereka diterima sejajar dengan dasar keterbukaan kementerian itu.
“Pandangan pelajar matrikulasi dan tingkatan enam juga diambil kira kerana mereka mungkin mampu memberi idea yang bernas,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa bersarapan pagi dengan penduduk di Bukit Depu di sini hari ini.
Beliau mengulas rumusan awal Persidangan Meja Bulat mengenai PPSMI yang mendapati proses pengajaran mata pelajaran itu di kawasan luar bandar perlu ditingkatkan berbanding sekolah di bandar.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom dilaporkan berkata, peserta persidangan turut mencadangkan kajian dibuat untuk menambah baik kecekapan guru, kemudahan prasarana dan program sokongan diperluaskan.
Mengulas lanjut Razali memberitahu, peruntukan RM5 bilion telah digunakan dalam menjayakan PPSMI setakat ini.
Beliau menambah, peruntukan itu digunakan bukan sahaja untuk peralatan pembelajaran dan pengajaran termasuk komputer dan bahan pengajaran malah pelbagai kemudahan berkaitan.
Katanya, walaupun secara kasar impak pelaksanaan PPSMI setakat ini belum begitu ketara khususnya di luar bandar namun kesan positif sudah mulai kelihatan.
Jelas Razali, dalam usaha memantapkan PPSMI, kementerian sentiasa berusaha menganjurkan pelbagai program termasuk mengadakan persidangan meja bulat berhubung isu-isu berbangkit.
Katanya, kementerian juga membentangkan 16 kajian mengenai PPSMI yang dilakukan bukan sahaja oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) malah kementerian pelajaran dan sektor swasta.
“Kita juga akan membentangkan hasil kajian akhir tahun ini untuk melihat keberkesanan program ini dan kita akan lihat sejauh mana kejayaan dan impaknya terhadap pelajar,
“Ini penting sebab kita harus ingat kesan atau impak PPSMI adalah besar membabitkan berjuta pelajar dan perbelanjaan yang mencecah RM5 bilion,” katanya.
Peluang Guru Sekolah Rendah Dapat Ijazah
Filed Under Blog, Keratan Akhbar · Tagged: Add new tag, Guru Kerjaya Guru, ijazah, Keratan Akhbar, naik pangkat, peluang Guru
PUTRAJAYA 3 Julai – Kementerian Pelajaran akan melancarkan Program Pensiswazahan Guru Sekolah Ren dah (PGRS) dan Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB) bagi meningkatkan tahap kelulusan akademik guru-guru sekolah rendah.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, kedua-dua program tersebut akan bermula tahun ini dengan pengambilan pertama dijangka pada 17 November ini.
“Iklan program ini akan disiarkan pada 15 Julai ini menerusi akhbar tempatan dan permohonan juga dibuka secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Alimuddin berkata, program PGSR akan dikendalikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara mulai 2008 hingga 2012 dan melibatkan tempoh pengajian selama empat tahun.
Katanya, program ini akan diadakan semasa musim cuti persekolahan dengan unjuran pengambilan seramai 3,000 orang guru setiap tahun.
“Bidang ditawarkan melibatkan pelbagai mata pelaja ran, selepas tamat pengajian peserta program akan dianu gerahkan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepuji an (Pendidikan Rendah),” katanya.
Alimuddin menjelaskan, PKPGB pula dikhaskan kepada guru besar atau pegawai-pegawai kementerian yang per nah menjadi guru besar dan menyandang gred DGA34 dan DGA32, berumur tidak melebihi 48 tahun.
“Program selama tiga tahun itu dilaksanakan secara Mod Intensif iaitu dalam tempoh setahun kuliah melibat kan empat sesi secara intensif merangkumi 148 hari. – Utusan.




