Teknologi solar sumber alternatif
Filed Under Teknologi · Tagged: berita, berita harian, harian, matahari, solar, teknologi solar
TEKNOLOGI sel solar wajar digunakan sebagai sumber alternatif menjana elektrik dalam projek pembestarian sekolah luar bandar untuk memastikan pelajar di kawasan berkenaan tidak ketinggalan dalam pembudayaan teknologi maklumat dan komunikasi.
Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria (Seri) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kamaruzzaman Sopian, berkata teknologi solar lebih praktikal, menjimatkan kos dan masa berbanding kaedah penyambungan grid yang diamalkan ketika ini.
Katanya, aplikasi teknologi itu, sekali gus meluaskan penggunaan tenaga solar di kawasan luar bandar yang kini dimanfaatkan dalam bidang pertanian dan perikanan saja.
“Aplikasi tenaga solar di negara kita kini pada tahap sangat rendah sedangkan ia berpotensi tinggi dimanfaatkan dalam pelbagai bidang terutama sektor perumahan dan pertanian.
“Antaranya, ia dapat memastikan projek pembekalan elektrik bagi sekolah luar bandar dilaksanakan pada kadar segera serta berdaya saing dari segi kosnya.
“Lazimnya, sesebuah sekolah di luar bandar hanya memerlukan bekalan elektrik tiga hingga lima kilowatt saja sehari termasuk untuk operasi makmal komputer dan teknologi, sel solar mampu memenuhi keperluan ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pameran Kereta Solar di Dataran Pusanika UKM, Bangi, baru-baru ini.
Sempena pameran itu, warga Switzerland, Louis Palmer turut mempromosi teksi solar ciptaannya, selain menyampaikan ceramah mengenai kenderaan itu kepada warga universiti.
Sementara itu, Kamaruzzaman, berkata kereta solar antara 20 produk yang berjaya dihasilkan institut itu menerusi kegiatan penyelidikannya.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak dua produk sudah digunakan pihak berkaitan iaitu panel sel solar oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta pengeringan kelapa sawit menggunakan teknologi pengeringan udara solar oleh Felda.
“UKM satu-satunya institusi pengajian tinggi awam yang diberi mandat Kementerian Pengajian Tinggi bagi menubuhkan institut penyelidikan khusus untuk tenaga solar sejak 2005.
“Sejajar itu, kami menerima geran penyelidikan berjumlah RM13 juta daripada pelbagai pihak sepanjang Rancangan Malaysia Ke-9 untuk memajukan teknologi tenaga solar dalam pelbagai bidang terutama pertanian dan perikanan,” katanya.
Sumber: Berita Harian Online
Sweet 17 : Happy Birthday For My Grandma:)
Filed Under Matematik, Tahun Lompat · Tagged: 2008, 29, 29 Februari, bumi, Februari, matahari, Tahun, Tahun Lompat
Assalamualaikum & salam sejahtera…

Pernahkah seorang rakan anda menjemput anda ke majlis neneknya yang ke-17? Apa yang anda akan fikir jika dipelawa begini? Mungkin anda akan berkata bila nenek dia kahwin? Umur 17 tahun dah ada cucu? Atau biar betul member aku ni?Adakah anda percaya jika saya mengatakan ada orang yang bergelar nenek tetapi baru kali ke -17 menyambut hari lahirnya? Mengapa boleh jadi begini? Adakah disebabkan dia kahwin awal?
Ha..ha… Saya tidak akan membiarkan diri anda diselubungi misteri
Baiklah hari ini saya akan menjelaskan bagaimana seorang yang sudah bergelar nenek, mungkin umur sudah hampir 70 tahun tetapi baru menyambut hari lahir yang ke -17.
Hari ini hari apa? Berapa hari bulan? Apa istimewanya hari ini?
Hari ini 29 Februari 2008. Istimewanya hari ini ialah hari ini hanya datang sekali dalam masa 4 tahun. Kenapa begitu? Ini kerana hari ini hanya wujud dalam tahun lompat dan tahun lompat hanya datang 4 tahun sekali. Cuba anda bayangkan jika anda lahir pada hari ini, bilakah anda akan menyambut hari lahir anda yang ke 17?
17 x 4 = 68 tahun
Ya! pada umur anda 68 tahun barulah anda akan menyambut hari lahir anda yang ke-17. Mungkin pada waktu itu anda telah mempunyai cucu yang berumur 17 tahun
Jadi janganlah terkejut jika ada rakan anda menjemput anda ke majlis hari lahir neneknya yang ke-17
Tahun lompat. Mengapa wujudnya tahun lompat dan bagaimana untuk mengetahui sesuatu tahun itu adalah tahun lompat atau tidak?
Tahun lompat merupakan satu tahun yang mempunyai lebih satu hari berbanding tahun biasa. Biasanya dalam setahun kita mempunyai 365 hari tetapi pada tahun lompat kita mempunyai 366 hari iaitu lebih pada 29 Februari.
Tahun lompat ini diwujudkan bagi memastikan kalendar adalah selaras dengan pusingan bumi mengelilingi matahari atau pun dengan peredaran musim.
Seperti yang kita tahu, tempoh peredaran bumi mengelilingi matahari adalah 365 ¼ hari. Jadi untuk memudahkan pengiraan tahun, setiap empat tahun 1 hari ditambah bagi memastikan pengiraan kalendar adalah tepat.
Untuk mengetahui suatu tahun itu tahun lompat atau tidak, anda hanya perlu membahagikan tahun tersebut dengan 4. Jika ia dapat dibahagikan dengan tepat iaitu tidak berbaki maka tahun tersebut adalah tahun lompat. Jika ia berbaki maka ia bukan tahun lompat.
Contohnya tahun 2008.
2008 ÷ 4 = 502 tiada baki, maka tahun 2008 adalah tahun lompat.
Sekian perkongsian pada kali ini.
Wassalam
Cikgu Farizal




on
on 

