Pendidik perlu bersikap neutral, elak pegawai kerajaan lain tuntut hak sama

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk membenarkan guru Kumpulan A bergiat aktif dalam politik tidak sesuai dilaksanakan kerana ia dikhuatiri boleh memecahbelahkan warga pendidik di sekolah, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Beliau menegaskan, sesetengah guru mungkin taksub dengan parti yang disokong sehingga wujud sikap berpuak, sekali gus menjejaskan pelajar.

“Pada asasnya, guru dan pegawai tinggi kerajaan tidak dibenarkan menyertai politik dan mereka perlu bersikap neutral.

“Jika guru dibenarkan berpolitik, pegawai kerajaan dari kumpulan lain juga pasti akan menuntut hak yang sama,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Ismail mengulas cadangan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, supaya golongan pendidik, terutama guru Kumpulan A diberi kelonggaran dan kebenaran untuk terbabit dalam aktiviti politik serta memegang jawatan dalam parti.

Dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno Sabtu lalu, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kepakaran golongan itu dapat digembleng dan dimanfaatkan bagi memantapkan lagi Umno.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 P U (A) 246, pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

Pegawai kerajaan dari Kumpulan A atau Pengurusan juga tidak boleh mengambil bahagian secara aktif dalam politik seperti berkempen, sama ada pada waktu pejabat mahupun di luar waktu pejabat kerana dikhuatiri boleh menyeleweng daripada tugasnya.

Bagaimanapun, kakitangan Kumpulan Sokongan dibenarkan bergerak aktif dalam politik dengan syarat mendapat kelulusan ketua jabatan yang harus menilai semua faktor sebelum memberi kelulusan.

Ismail berkata, cadangan itu jika masih hendak dilaksanakan mesti diperhalusi secara mendalam.

“Kita mungkin perlu ada kaedah atau syarat tertentu yang difikirkan sesuai jika cadangan ini mahu dilaksanakan,” katanya.

Ismail berkata, buat masa ini larangan itu masih kekal dan wajib dipatuhi pegawai kerajaan termasuk guru.

Sumber : Bharian.com.my

PUTRAJAYA 5 Mei, Utusan Online – Orang Melayu diingatkan bahawa kunci kedaulatan mereka di negara ini hanya boleh ditemui jika diri mereka dilengkapi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi.

Veteran UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, beliau sebenarnya amat risau dengan gelagat yang ditunjukkan oleh sebahagian besar anak muda Melayu yang terang-terang mengabaikan pelajaran.

Tegasnya, tanpa ilmu pengetahuan usahkan kedaulatan mustahil diperoleh, malah lebih teruk lagi orang Melayu akan terumbang-ambing dan merempat di tanah air sendiri.

“Memang Malaysia yang dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu milik orang Melayu dan pada masa sama kita tidak pula menidakkan hak kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Namun jika tidak ada pelajaran dan kebolehan dalam persaingan dunia global sekarang, kita pasti akan hilang segala-galanya. (Penguasaan) ilmu pengetahuan itulah kunci kedaulatan Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kongres Permuafakatan Melayu semalam yang sebulat suara bersetuju menubuhkan sekretariat tetap yang dikenali sebagai Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) bagi memantau, mempertahankan dan melaksanakan semua tuntutan berkaitan kedaulatan Melayu.

Menurut Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein, sekretariat itu akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat dengan penglibatan jawatankuasa terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Resolusi Kongres Permuafakatan Melayu yang mengandungi pelbagai tuntutan bagi mempertahankan kedudukan Melayu itu diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar.

Ia mengandungi tuntutan yang merangkumi aspek perlembagaan, politik, ekonomi, agama Islam, bahasa Melayu, pendidikan, sosial dan budaya, termasuk syor menubuhkan MMMM.

Laman 1 dari 11

Education and Training Blogs - BlogCatalog Blog Directory Directory of Education/Research Blogs Bloggers Directory Blog Directory & Search engine

blogarama - the blog directory