Peranan Kerajaan dalam Menangani Kes Kemalangan Jalan Raya
|

Karangan SPM: Peranan menangani kes kemalangan jalan raya

Kes kemalangan jalan raya di Malaysia yang semakin meningkat telah membimbangkan masyarakat. Apakah cara kerajaan untuk menangani kes kemalangan jalan raya?

Peranan Kerajaan dalam Menangani Kes Kemalangan Jalan Raya

Jalan raya seperti mulut naga merupakan ungkapan pepatah Cina yang menggambarkan jalan raya boleh meragut nyawa seseorang. Malah peribahasa Melayu turut menyebut malang tidak berbau, kesemua ungkapan lama ini memberi nasihat kepada generasi hari ini agar sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya. Malangnya, ungkapan – ungkapan seperti ini yang terpapar pada papan iklan di lebuh raya hanya dipandang sipi oleh pengguna jalan raya. Malah dek kelajuan memandu, mereka tidak sempat untuk membaca ungkapan tersebut. Oleh itu, satu tindakan proaktif perlu diambil oleh pihak kerajaan demi memastikan kemalangan tidak lagi menjadi pembunuh nombor satu negara.

Kempen keselamatan jalan raya

Langkah bestari yang kerap dilakukan oleh kerajaan adalah dengan mengadakan kempen keselamatan jalan raya. Namun, kerajaan seharusnya menjadikan aktiviti kempen kesedaran ini sebagai usaha berterusan dan bukan hanya bermusim sahaja. Kerajaan sepatutnya menjadikan aktiviti tersebut sebagai aktiviti bulanan. Sebagai satu contoh, pihak kerajaan boleh mengedarkan risalah atau pelekat kenderaan terutamanya kepada penunggang motosikal yang masih setahun jagung serta yang masih leka tentang pentingnya keselamatan diri ketika berada di jalan raya. Dengan memberi tumpuan pada golongan sasaran, objektif untuk mengurangkan kes kemalangan dalam kalangan penunggang motosikal akan dapat dijayakan dengan sempurna.

Pemasangan kamera perangkap kelajuan

Selain itu, pemasangan kamera perangkap kelajuan merupakan satu tindakan bijak dilakukan oleh kerajaan. Pemasangan alat tersebut di tempat- tempat yang kerap berlaku kemalangan telah berjaya mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya. Hal ini dikatakan demikian kerana pemasangan kamera perangkap kelajuan dan papan tanda amaran telah menyebabkan pemandu kenderaan memperlahankan kelajuan kenderaan mereka mengikut had kelajuan yang dibenarkan. Secara tidak langsung, objektif kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya telah berjaya mencapai sasarannya. Tegasnya, tindakan kerajaan bukan hanya semata-mata untuk mengenakan saman tetapi mengurangkan kadar kemalangan.

Keadaan jalan raya hendaklah dinaik taraf

Dalam pada itu, keadaan jalan raya di Malaysia terutamanya di pedalaman hendaklah dinaik taraf bagi mengelakkan berlakunya kemalangan yang boleh meragut nyawa. Lebih parah lagi, ada bahagian jalan yang sudah berlopak dan sering dipenuhi dengan lumpur. Keadaan jalan yang tidak rata ini amat berisiko bagi kenderaan kecil yang lalu lalang di jalan tersebut. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi kerajaan yang dipertanggungjawab seperti JKR hendaklah turun padang dan melihat sendiri keadaan jalan raya yang telah dibuat aduan oleh penduduk. Mereka tidak harus berpeluk tubuh, membutakan mata atau memekakkan telinga daripada aduan masyarakat setempat. Secara tidak langsung, tindakan ini menunjukkan keperihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat.

Hukuman ke atas pesalah lalu lintas

Di samping itu, kerajaan perlu mengkaji dan menilai semula aspek perundangan dan hukuman ke atas pesalah lalu lintas. Kerajaan seharusnya mengenakan demerit kepada pesalah lalu lintas yang melakukan kesalahan kecil dan mewajibkan pemandu kenderaan berat melakukan pemeriksaan kesihatan setiap lima tahun sekali agar tahap kesihatan mereka terjamin ketika memandu kenderaan berat. Bagi pesalah lalu lintas yang melakukan kesalahan berat, mereka hendaklah dikenakan hukuman penjara, dan denda yang setimpal. Tindakan keras ini walaupun dilihat berat dan menyusahkan tetapi hakikat sebenarnya, tindakan ini akan dapat mengurangkan kes kemalangan berlaku terutama yang melibatkan kenderaan berat.

Penutup Karangan kes kemalangan jalan raya

Secara keseluruhannya, kerajaan telah mengambil pelbagai pendekatan untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya. Peningkatan kes ini telah memberi impak negatif kepada kerajaan seolah-olah dilihat lemah dan lambat dalam menyelesaikan masalah rakyat. Namun hakikatnya, kita mudah untuk menuding jari kepada orang lain lalu menyalahkannya tanpa melihat pada diri sendiri yang menjadi punca peningkatan kes kemalangan jalan raya.


Contoh Karangan: Cara Menangani Kemalangan Jalan Raya

Cogan Kata yang sesuai untuk digunakan

– Jalan raya seperti mulut naga
– Sesal dahulu Pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
– Biar Lambat asalkan Selamat
– Pandu Cermat, Jiwa Selamat
– Ingat orang tersayang

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *