Cara Mempopularkan Permainan Tradisional
|

Cara Mempopularkan Permainan Tradisional (Karangan SPM)

Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas, ini ialah peribahasa yang perlu kita jadikan pegangan dan panduan dalam usaha untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia. Permainan tradisional merupakan warisan bangsa yang perlu dipertahan untuk tatapan generasi akan datang. Huraikan peranan pelbagai pihak untuk mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Peribahasa yang berkenaan
– Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas
– Di mana batang terguling, di situ cendawan tumbuh
– Tak kenal maka tak cinta
– Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna

Permainan tradisional di masyarakat Malaysia

Negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan modenisasi sehingga mengalami pembangunan yang pesat. Sehubungan dengan itu, permainan tradisional turut disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Permainan tradisional dapat ditakrifkan secara literal sebagai permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat untuk satu tempoh tertentu. Adakah kita sanggup membiarkan khazanah kebudayaan kita ditelan dalam peredaran zaman dan lenyap di bumi kita ini?

Tepuk dada tanya selera dan sebelum nasi menjadi bubur, kita perlu mencari pendekatan yang efisien untuk meninggikan martabat permainan tradisional di negara kita semula, seperti peribahasa, di mana batang terguling, di situ cendawan tumbuh. Oleh itu, langkah-langkah untuk mempopularkan permainan ini patut dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Peranan ibu bapa memperkenalkan permainan tradisional

Ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam usaha untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada generasi muda. Sebagaimana yang kita ketahui, ibu bapa sering menjadi suri teladan untuk anak-anak mereka yang sedang meningkat dewasa seperti peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membelikan anak-anak permainan tradisional sebagai hadiah atau buah tangan sekiranya ibu bapa pulang dari bekerja di luar daerah seperti congkak dan gasing. Pada masa yang sama, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke tempat rekreasi untuk bermain dengan permainan tradisional. Secara langsung, anak-anak dapat mewarisi permainan ini daripada ibu bapa mereka tentang teknik dan cara-cara bermain.

Peranan pihak sekolah

Pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam kalangan remaja. Pelbagai usaha yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah supaya pelajar lebih mengenali dan meminati permainan tradisional kerana tak kenal maka tak cinta. Pihak sekolah boleh menganjurkan kelab permainan tradisional untuk menarik minat pelajar menyertai program-program yang dianjurkan. Pihak sekolah perlu menyediakan alatan permainan di sekolah bagi memudahkan para pelajar untuk menggunakan alatan permainan ini. Secara tidak langsung, para pelajar akan lebih mendekatkan diri dengan permainan tradisional dan mengekalkan warisan bangsa dalam diri. Begitu juga halnya dengan pengekalan permainan ini yang perlu ditekankan oleh setiap pihak agar warisan ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Peranan media massa

Salah satu cara untuk mempopularkan Permainan Tradisional ialah menerusi media massa yang dapat menguar-uarkan sesuatu berita dengan cepat, tepat dan sahih. Pihak media massa boleh menghebahkan tentang permainan tradisional melalui surat khabar, majalah, radio, Internet dan televisyen. Sebagai contoh, sukan sepak takraw telah diangkat sebagai salah satu acara sukan yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa. Media massa boleh memaparkan sukan dan mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat seantero dunia tanpa mengira perbezaan latar belakang, agama, bangsa dan negara. Jelaslah bahawa, media massa perlu bergerak dengan lebih giat lagi dalam usaha untuk memartabatkan permainan tradisional agar diangkat lebih tinggi hingga ke peringkat antarabangsa dan membuka mata dunia tentang keistimewaan negara yang bernama Malaysia.

Peranan kerajaan

Umum mengetahui bahawa pihak kerajaan merupakan peranan yang penting dalam mengekalkan permainan tradisional. Pihak kerajaan seperti Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan boleh mengekalkan permainan ini dengan mengadakan pesta permainan tradisional di peringkat negeri dan kebangsaan. Sebagai analognya, rakyat daripada pelbagai kaum dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang permainan tradisional yang hampir tenggelam oleh peredaran zaman. Pada masa yang sama, pihak kerajaan boleh memperluaskan permainan tradisional negara Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa. Melalui cara ini, rakyat dapat membuka mata bahawa permainan warisan kita dapat dibawa ke peringkat antarabangsa dan mendapat perhatian di mata dunia. ramai pelancong asing akan melawat ke Malaysia untuk melihat pertandingan layang-layang yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia pada saban tahun. Dengan cara ini, permainan tradisional tidak akan mudah terhakis pada zaman akan datang.

Penutup Karangan Permainan Tradisional

Secara intihanya, masyarakat Malaysia tidak seharusnya membiarkan warisan Malaysia yang berharga seperti permainan tradisional ini lenyap terus daripada muka bumi ini. Ingatlah peribahasa, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Kita sebagai pewaris khazanah negara tidak harus membiarkan permainan ini menjadi sejarah yang tiada siapa pun dapat mewarisi teknik bermain. Pada masa yang sama, masyarakat Malaysia perlu bersungguh-sungguh dalam memastikan warisan negara ini sentiasa terpelihara dan tidak hilang ditelan zaman. Jika semua pihak berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, kelurah sama dituruni, isu ini akan dapat ditangani oleh masyarakat Malaysia dan warisan paling berharga ini akan tetap diamalkan dari generasi ke generasi akan datang.


Baca: Contoh Karangan yang Lain

Gasing – Permainan Tradisional

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *