Karangan Langkah Memajukan Sukan
|

Contoh Karangan: Langkah Memajukan Sukan

Aktiviti sukan dapat membantu meningkatkan pengaliran darah dalam tubuh badan dan menjadikan seseorang itu sihat dan bertenaga. Huraikan langkah untuk memajukan aktiviti sukan di negara kita.

Cogan Kata bagi Karangan tentang sukan
– Badan Sihat Minda Cerdas
– Rakyat Sihat, Negara Maju
– Melentur buluh biarlah dari rebungnya
– Sukan Pemangkin Perpaduan Negara

Langkah untuk Memajukan Sukan di Malaysia

Sukan merupakan kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan sertatenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan ataupun untuk mengisi masa lapang dan beriadah. Setiap negara berusaha menggalakkan rakyatnya melibatkan diri dalam bidang sukan kerana mendatangkan pelbagai kebaikan serta terdapat pelbagai faktor dalam motivasi sukan. Contoh aktiviti sukan yang popular di Malaysia ialah olahraga, berenang, bola sepak, tenis, badminton dan bola keranjang. Prestasi atau mutu sukan negara kita masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Oleh itu, pihak yang berkenaan dalam bidang sukan perlulah memainkan peranan yang berkesan dengan kerjasama semua pihak untuk memupuk motivasi sukan.

Penubuhan sekolah sukan

Usaha yang telah diambil dalam motivasi sukan ialah penubuhan sekolah sukan. Pelajar-pelajar yang berbakat dalam pelbagai bidang sukan dapat dicungkil dan dikumpulkan untuk diberi latihan yang sistematik. Sekolah sukan mempunyai kemudahan sukan yang canggih dan lengkap. Dengan ini, pelajar dapat menjalani latihan dengan teratur dan terancang yang dapat meningkatkan kecerdasan pelajar. Para pelajar juga dapat dilatih oleh jurulatih yang berwibawa dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing di mana mereka yang pernah menjadi pemain atau atlet di peringkat negeri, negara, atau antarabangsa. Dengan ini, bakat mereka dapat diasah melalui bimbingan duru-guru sukan. Oleh itu, penubuhan sekolah sukan boleh melatih atlet muda yang cemerlang dalam bidang sukan agar menjadi pelapis negara dan seterusnya mengharumkan nama negara di perseda sukan antarabangsa.

Memberi ganjaran kepada atlet

Selain itu, usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam motivasi sukan ialah memberi ganjaran yang setimpal kepada atlet yang berjaya mengharumkan negara dalam sesuatu pertandingan di peringkat antarabangsa seperti sukan SEA, Asia, dan Olimpik. Hal ini berlaku demikian kerana ganjaran yang diberikan tidak setimpal dengan usaha yang dicurahkan oleh mereka. Dengan ini, sumbangan dalam bentuk kewangan atau pemberian latihan berupaya menyuntik semangat baru serta sebagai dorongan kepada atlet untuk lebih berusaha supaya mencapai kejayaan yang lebih baik. Pemberian insentif ini juga memberi satu harapan kepada golangan muda terutama kanak-kanak untuk mempunyai impian menjadi ahli sukan dan menerima ganjaran itu. Oleh itu, ganjaran atau insentif yang diberikan kepada atlet yang cemerlang perlu diwujudkan untuk dijadikan sebagai tanda penghargaan dan satu bentuk motivasi untuk semua agar lebih giat berusaha.

Pengambilan jurulatih berpengalaman

Usaha lain ialah kerajaan boleh mengambil jurulatih dari luar dalam meningkatkan mutu sukan negara. Pengambilan jurulatih berpengalaman terutama dari negara luar berupaya menyuntik teknik baru kepada latihan ahli sukan kita. Jurulatih asing yang berpengalaman ini mampu melihat kelemahan dan mengatasi kelemahan ahli sukan kita dengan pantas kerana mereka berpengalaman luas. Dalam masa yang sama jurulatih asing ini boleh membuat program untuk melatih jurulatih tempatan atau berkongsi pengalaman dengan mereka untuk merangka satu sistem latihan yang terbaik. Jadi, jurulatih asing boleh membawa perubahan drastik terhadap mutu sukan negara kita di mana dapat mendedahkan para atlet negara kita dengan prosedur dan teknik-teknik terkini untuk menggondolkan kejuaraan di peringkat kebangsaan mahu pun di peringkat antarabangsa yang merupakan satu bentuk motivasi sukan.

Meningkatkan kemudahan sukan

Di samping itu, kemudahan sukan perlu ditingkatkan. Prasarana sukan yang lengkap dan canggih dapat membantu atlet lebih berlatih dengan selesa dan efektif. Sebagai contoh, pembinaan kemudahan sukan seperti gelanggang, kolam renang, gimnasium, stadium, dan sebagainya yang tidak disediakan secara menyeluruh di semua kawasan perlu diubahsuaikan supaya masyarakat dapat menggunakan kemudahan tersebut pada bila-bila masa yang dapat motivasi dalam bidang sukan. Oleh itu, pembinaan kemudahan sukan menjamin negara memiliki satu kelompok ahli sukan yang berwibawa di mana merupakan satu motivasi dalam bidang sukan.

Ibu Bapa menggalakkan anak bersukan

Selain itu, peranan ibu bapa tidak boleh dikesampingkan dalam usaha untuk menggalakkan anak-anak bersukan. Oleh itu, ibu bapa perlulah diberikan kesedaran supaya memainkan peranan yang sepatutnya dalam usaha untuk melahirkan lebih banyak ahli sukan di negara kita. Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan aktif. Ibu bapa boleh menasihati anak-anak supaya memperuntukkan masa mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan dan permainan. Ibu bapa tidak seharusnya mementingkan aspek kecemerlangan akademik semata-mata dan mengetepikan kepentingan sukan kepada anak-anak mereka. Kita mahu agar kecemerlangan akademik dan kecemerlangan sukan bergerak seiring sekiranya mahu negara kita maju dalam bidang sukan. Perkara ini akan menjadi realiti jika pepatah, “genggam bara api biar sampai jadi arang” sentiasa menjadi amalan dalam diri setiap orang yang ingin akan kejayaan.

Penutup Karangan Langkah memajukan Sukan

Secara keseluruhannya, mutu sukan negara kita dapat ditingkatkan sekiranya usaha-usaha tersebut dibuat berterusan. Kerajaan dan masyarakat juga seharusnya berusaha mencari cara dalam motivasi sukan supaya bendera negara kita akan berkibar di kejohanan antarabangsa pada suatu hari kelak bukan sahaja kesihatan masyarakat dijamin. Jika semua pihak berganding bahu dalam meningkatkan mutu sukan, matlamat motivasi dalam sukan dapat dicapai.


Contoh Karangan: Faedah Sukan


Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *