Peranan Ibu Bapa dalam Usaha Menangani Masalah Sosial Remaja
|

Karangan SPM – Usaha Menangani Masalah Sosial Remaja

Golongan remaja sentiasa menimbulkan pelbagai masalah sosial. Apakah peranan ibu bapa dalam usaha untuk menangani masalah sosial dalam kalangan remaja?

Peranan Ibu Bapa dalam Usaha Menangani Masalah Sosial Remaja

Dalam alaf penuh cabaran dengan pelbagai kemajuan dan pembangunan fizikal, masalah sosial turut meningkat dan menerima perubahan yang lebih drastik dalam masyarakat. Malah perubahan tersebut menyebabkan mereka terjerumus dalam masalah sosial norma baharu tanpa disedari. Bagi ibu bapa yang berusia, masalah ini kurang mendapat perhatian berbanding ibu bapa muda. Mereka lebih memahami masalah sosial pasca-2020 yang lebih mencabar. Oleh itu ibu bapa muda perlu dilengkapi dengan maklumat terperinci agar mereka bersiap sedia menghadapi masalah sosial dalam kalangan remaja. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam usaha menangani masalah sosial dalam kalangan remaja alaf ini?

Pemantauan ibu bapa terhadap rakan anak-anak

Antara perspektif yang perlu dilihat ialah pemantauan ibu bapa terhadap rakan-rakan yang berkawan dengan anak. Ibu bapa hendaklah mengenali rakan-rakan anak dan mengetahui hubungan mereka. Tindakan ini bertujuan agar rakan-rakan anak tidak mempengaruhi anak – anak untuk melakukan perkara yang tidak baik. Selain itu, ibu bapa juga hendaklah mengenali keluarga rakan-rakan anak. Dengan cara ini ibu bapa lebih mudah membuat pemantauan disebabkan adanya kerjasama daripada kedua-dua pihak memantau anak masing-masing. Oleh itu, langkah bestari ini merupakan jalan mudah untuk ibu bapa mengawal anak-anak daripada terjebak dalam masalah sosial.

Ibu bapa menjadi rakan anak-anak

Dari perspektif yang berbeza pula, ibu bapa hendaklah menjadi rakan anak-anak. ibu bapa hendaklah bersikap terbuka untuk mendengar setiap pandangan atau pendapat yang dikemukakan oleh anak-anak. Pada masa yang sama, ibu bapa hendaklah cuba memahami jiwa dan perasaan anak-anak yang sedang meningkat dewasa ini kerana zaman sekarang anak-anak menerima pengaruh secara tidak langsung melalui pelbagai medium sama ada secara media cetak atau media elektronik. Keadaan ini menyebabkan ibu bapa perlu mempelajari ilmu keibubapaan untuk memahami anak-anak generasi alaf baharu ini.

Didikan Agama di rumah

Selain perspektif tersebut, ibu bapa boleh juga menggunakan pendekatan agama. Ibu bapa hendaklah menerapkan asuhan dan didikan agama secara tidak formal di rumah. Ibu bapa hendaklah menerapkan nilai-nilai keagamaan agar anak-anak terhindar daripada masalah sosial. Benteng agama yang utuh ini dapat melindungi anak-anak daripada pengaruh negatif yang boleh memesongkan pendirian, keimanan, dan akhlak mulia. Sesungguhnya, anak-anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya. Oleh itu, ibu bapa bertanggungjawab untuk mencorak kehidupan anak mereka agar tidak terpesong dengan masalah sosial.

Pendekatan kasih sayang

Di samping penerapan nilai agama dalam diri anak-anak, ibu bapa juga boleh mengambil pendekatan yang lebih efektif iaitu melalui pendekatan kasih sayang. Ibu bapa hendaklah menzahirkan kasih sayang mereka kepada anak-anak dengan meluangkan masa bersama dengan anak-anak pada waktu lapang atau hujung minggu. Sebagai contoh, ibu bapa membawa anak-anak beriadah pada waktu pagi di taman rekreasi. Mereka juga boleh mengadakan pelbagai aktiviti kekeluargaan sepanjang hari atau mengatur program percutian ke destinasi pelancongan yang berhampiran. Dengan cara ini, ibu bapa dapat mengenali dan memahami tingkah laku anak-anak dan mereka dapat merapatkan hubungan antara keluarga.

Penutup Karangan Masalah Sosial Remaja

Secara keseluruhannya, setiap masalah akan ada penyelesaiannya, begitu juga dengan masalah sosial yang masih membelenggu masyarakat khususnya remaja di negara kita. Masalah ini akan dapat diselesaikan jika semua pihak dapat bersatu hati, bersepakat dalam mencari titik penyelesaian dan tidak saling menuding jari serta menyalahkan orang lain kerana sesungguhnya telunjuk lurus kelingking berkait. Oleh itu, ibu bapa hendaklah kritis dan kreatif dalam usaha memupuk amalan mulia dalam diri anak-anak agar mereka dapat menjadi insan berguna pada keluarga, masyarakat dan negara yang bebas daripada segala gejala sosial.


Contoh Karangan SPM:
Faedah menyertai kegiatan kokurikulum
Langkah Memajukan Sukan
Faedah Sukan kepada Malaysia

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *