Karangan SPM: Kebaikan amalan semangat kejiranan
|

Contoh Karangan SPM: Kebaikan amalan semangat kejiranan

Kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan. Malangnya, semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Apakah Kebaikan amalan semangat kejiranan

Kebaikan amalan semangat kejiranan

Jiran merupakan individu yang tinggal di sekeliling rumah kita,iaitu di sebelah, di hadapan dan juga di belakang rumah kita. Jiran sangat penting dalam kehidupan kerana mereka yang akan membantu kita apabila kita menghadapi mushibah nanti. Namun ada lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tak mahu. Justeru, kita seyogia mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa berganding bahu dalam melaksanakan sesuatu perkara. Persoalannya, apakah kebaikan amalan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat di Malaysia?

Memupuk semangat kerjasama

Kebaikan-kebaikan amalan semangat kejiranan termasuklah kita dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana nilai kerjasama dapat menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang diadakan di kawasan tempat tinggal mereka, misalnya aktiviti gotong-royong dan majlis sambutan hari perayaan. Aktiviti berbentuk kemasyarakatan dapat mempertemukan semua jiran dan sekali gus dapat merapatkan hubungan mereka,bak kata pepatah Melayu,jiran sepakat membawa berkat. Sudah terang lagi bersuluh bahawa nilai kerjasama dapat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Melahirkan masyarakat yang bersatu padu

Selain itu, semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Semangat  kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami  antara satu sama lain. Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi dan saling membantu. Sebagai contoh, perisitiwa  13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika rakyat tidak bersatu padu, negara akan musnah dan tidak aman, bak kata pepatah Melayu, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana maufakat. Tegasnya,semangat kejiranan merupakan tonggak utama dalam mebentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan memacu pembangunan negara ke arah kegemilangannya.

Melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri

Di samping itu, semangat kejiranan merupakan satu elemen penting kerana dapat melahirkan anggota masyarakat yang mempunyai jati diri dan semangat cinta akan tanah air. Hal ini demikian kerana masyarakat memainkan peranan yang penting dalam pembangunan Negara ke arah arus globalisasi. Melalui semangat kejiranan,pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, sambutan Hari Kemerdekaan negara dapat memupuk semangat cinta akan tanah air, bak kata aforisme Melayu, tak kenal maka tak cinta. Tustasnya,semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia dapat mengekalkan semangat cinta akan tanah air dan sekali gus melonjakkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Produk pelancongan Malaysia yang unik

Pada waktu yang sama, semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Hal ini disebabkan oleh kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunya pelbagai seni budaya dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Perpaduan  masyarakat  Malaysia banyak membantu menarik kehadiran pelancong asing terutamanya ketika musim perayaan besar,misalnya pada sambutan Hari Kemerdekaan yang menampilkan perpaduan rakyat Malaysia turut diraikan oleh pelancong asing. Bak kata peribahasa Melayu, sambil menyelam minum air. Tegasnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia dapat menarik kehadiran pelancong luar negara sekali gus membawa pulangan ekonomi yang memberangsangkan negara.

Penutup Karangan amalan semangat kejiranan

Kesimpulannya, semangat kejiranan merupakan sebahagian amalan dan menjadi budaya di Malaysia yang menjadikan negara kita unik dan tersohor di seluruh dunia. Sudah terang lagi bersuluh bahawa semangat kejiranan amat penting dalam mengekalkan keharmonian negara malahan mampu memastikan Malaysia berdaya saing dengan negara lain pada zaman era ini. Sehubungan dengan ini, kita dapat merealisasikan impian negara ke arah kemajuan dan dapat menjaya konsep Gagasan 1 Malaysia. Justeru, semua pihak harus berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam mengekalkan amalan semangat kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum agar dasar atau konsep 1 Malaysia menjelang Wawasan 2030 dapat direalisaikan.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *