Faedah menyertai kegiatan kokurikulum
|

Karangan SPM – Faedah menyertai kegiatan kokurikulum

Kegiatan kokurikulum merupakan aktiviti yang penting untuk membentuk modal insan di sekolah. Apakah kebaikan menyertai kegiatan kokurikulum?

Faedah menyertai kegiatan kokurikulum dalam kalangan pelajar

Dalam melangkah ke era modenisasi ini, kegiatan kokurikulum di sekolah sudah tidak mendapat perhatian pelajar. Mereka tidak berminat dengan aktiviti kokurikulum dijalankan oleh Kelab, Persatuan dan Unit Beruniform lantaran daripada sikap malas mereka dan pengaruh permainan dalam talian. Ada sesetengah pelajar mendaftar nama dalam kegiatan kokurikulum hanya sekadar memenuhi tuntutan dan kewajipan sebagai seorang pelajar sahaja. Jelas sekali, sikap dan perbuatan mereka ini menunjukkan bahawa mereka masih tidak mengetahui faedah menyertai kegiatan kokurikulum kerana tak kenal maka tak cinta. Persoalannya, apakah kebaikan menyertai kegiatan kokurikulum?

Kegiatan kokurikulum menyihatkan pelajar

Antara manfaat yang telah dikenal pasti sejak dahulu lagi ialah kegiatan kokurikulum dapat menyihatkan pelajar. Aktiviti sukan yang diadakan pada waktu persekolahan akan menyebabkan pelajar dapat mengeluarkan peluh. Hal ini dikatakan demikian kerana toksik di dalam tubuh pelajar akan dapat disingkirkan melalui perpeluhan yang berlaku. Hasilnya, pelajar akan lebih segar selepas bersukan malah mereka akan berasa lapang fikiran selepas menghadapi tekanan belajar. Tidak dinafikan apabila seseorang pelajar itu cergas badannya, maka otaknya turut menjadi cerdas sesuai dengan peribahasa badan cergas otak cerdas. Pendek kata, kegiatan kokurikulum ini akan dapat melahirkan pelajar yang sihat tubuh badan dan cerdas fikirannya.

Mencungkil bakat atau potensi pelajar

Selain menyihatkan badan, kegiatan kokurikulum juga dapat mencungkil bakat atau potensi seseorang pelajar. Bagi pelajar yang menyertai aktiviti sukan, mereka dapat mencungkit kebolehan mereka dalam acara sukan yang diminati. Malah melalui kegiatan kokurikulum, mereka dapat menggilap bakat dan menimba ilmu serta kemahiran dalam acara sukan yang disertai oleh pelajar. Begitu juga dalam aktiviti kelab dan persatuan, pelajar dapat menggilap potensi diri mereka sebagai ketua atau pemimpin dalam persatuan. Kebolehan memimpin ini akan dapat membentuk diri pelajar menjadi seorang pemimpin pada suatu hari nanti. Maka kegiatan kokurikulum menjadi wahana untuk melahirkan pelajar yang berpotensi tinggi dalam pelbagai bidang.

Membentuk disiplin diri pelajar

Dari sudut yang berbeza pula, kegiatan kokurikulum dikatakan mampu membentuk disiplin diri yang tinggi dalam kalangan pelajar. Pelajar yang terlibat dalam aktiviti Unit Beruniform kebiasaannya akan melakukan aktiviti kawad kaki. Bagi ahli yang lewat menghadiri sesi tersebut, komander yang dilantik akan mengenakan hukuman yang berat bagi memberi pengajaran kepada pelajar yang lewat dan dalam masa sama memberi peringatan kepada ahli pasukan lain agar tidak lewat hadir sesi kawad kaki. Tegasnya, kegiatan kokurikulum menjadi medan pembentukan akhlak mulia dan disiplin yang tinggi dalam kalangan pelajar.

Memupuk amalan bekerjasama

Kegiatan kokurikulum juga dapat memupuk amalan bekerjasama dalam kalangan ahli mereka. Lazimnya, aktiviti kokurikulum dilakukan secara berkumpulan dan mereka dikehendaki melakukan kerja bersama-sama dengan cara pembahagian tugas bagi setiap ahli kumpulan. Aktiviti ini akan dapat memupuk semangat bekerjasama dan berkumpulan dalam kalangan pelajar sekali gus semangat bekerjasama dapat dipupuk dalam kalangan pelajar agar mereka sentiasa melakukan pekerjaan dalam berkumpulan dengan semangat bergotong-royong dan bekerjasama menjadi inti pati dalam aktiviti kokurikulum bak kata peribahasa, ‘Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’ dan ‘Ke bukit sama di redahi ke lurah sama dituruni’.

Penutup Karangan Kebaikan Kegiatan kokurikulum

Secara keseluruhannya, kegiatan kokurikulum ini merupakan satu kegiatan yang menjadi garis panduan dan petunjuk arah kepada pelajar dalam mendewasakan diri mereka menjadi generasi yang berkemahiran, berpotensi dan berkepimpinan. Sesungguhnya, jika mereka tidak dilengkapi dengan aktiviti kokurikulum, necaya mereka akan hilang neraca kehidupan yang menjadi pertimbangan baik atau buruk sesuatu perkara yang akan ditemui oleh mereka dalam menempuh alam kedewasaan. Oleh itu, ibu bapa berperanan penting untuk memastikan anak-anak terlibat dalam kegiatan kokurikulum di sekolah agar mereka menjadi generasi berkepimpinan dan berkemahiran tinggi untuk menerajui negara Malaysia yang tercinta.


Contoh Karangan berkaitan: Faedah Sukan kepada Malaysia

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *