Karangan Kesan Pencemaran alam sekitar
|

Contoh Karangan Kesan Pencemaran alam sekitar

Pencemaran alam sekitar yang berlaku pada masa ini telah mendatangkan beberapa keburukan kepada masyarakat dan negara. Banyak masalah yang telah timbul akibat daripada pencemaran alam sekitar. Huraikan kesan pencemaran alam sekitar.

Kesan Pencemaran alam sekitar

Alam sekitar adalah anugerah Tuhan yang sangat berharga untuk kesejahteraan kehidupan manusia. Isu pencemaran alam sekitar merupakan isu yang semakin hangat diperkatakan. Isu ini menjadi sasaran perbincangan dan mendapat perhatian umum oleh semua golongan masyarakat kerana pencemaran alam sekitar boleh menjejaskan setiap kehidupan dalam ekosistem bumi. Kegiatan manusia samada sengaja atau tidak disengajakan telah menyebabkan pencemaran air, pencemaran udara dan pencemaran tanah.

Mendatangkan penyakit kepada manusia

Pencemaran alam sekitar yang berlaku boleh mendatangkan banyak penyakit kepada manusia. Hal ini dikatakan demikian kerana alam sekitar yang kotor akan menyebabkan pelbagai jenis serangga yang membawa penyakit seperti nyamuk aedes dapat membiak dengan lebih banyak. Umum mengetahui bahawa gigitan nyamuk aedes ini boleh menyebabkan penyakit demam denggi, manakala, udara yang tercemar pula akan menyebabkan masalah pernafasan seperti penyakit asma.

Bencana alam

Selain itu, pencemaran alam sekitar juga akan menyebabkan bencana alam. Sebagal contoh, pencemaran di daratan boleh menyebabkan banjir lumpur apabila hujan turun dengan lebat. Bencana alam seperti tanah runtuh boleh berlaku apabila kawasan tanah tinggi telah digondolkan untuk membina kawasan perumahan atau kawasan perindustrian. Selain itu, kejadian banjir kilat juga berpunca daripada kegiatan pembuangan sampah ke dalam sungai hingga menyebabkan pengaliran air sungai ke laut terhalang oleh sampah sarap tersebut.

Keseimbangan alam sekitar terjejas

Pencemaran alam sekitar juga boleh menyebabkan keseimbangan alam sekitar terjejas. Apabila banyak hutan ditebang, kandungan gas oksigen akan berkurangan manakala kandungan karbon dioksida pula meningkat. Pencemaran udara juga akan menyebabkan berlakunya hujan asid. Selain itu menurut kajian, cuaca dunia yang tidak menentu disebabkan oleh kadar pencemaran alam yang semakin bertambah.

Sektor pelancongan negara terganggu

Pencemaran alam sekitar yang berlaku juga boleh menyebabkan sektor pelancongan negara terganggu. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak tempat menarik telah tercemar dengan sampah sarap. Pantai-pantai yang cantik juga telah tercemar dengan minyak hitam daripada kapal-kapal laut. Oleh itu, para pelancong tidak mahu datang ke kawasan pelancongan ini dan kerajaan terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk membersihkan tempat-tempat pelancongan ini.

Penutup Karangan Pencemaran alam sekitar

Kesimpulannya, pencemaran alam sekitar membawa banyak kesan yang buruk kepada negara kita. Pencemaran alam sekitar merupakan isu global yang perlu dibincangkan dan ditangani bersama-sama di seluruh negara. Kesan daripada pencemaran yang berlaku bukan sahaja dialami oleh manusia bahkan turut memberi kesan kepada hidupan yang lain. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya bersama-sama berganding bahu bagi menjadikan alam sekitar ini suatu medan pelestarian. Pihak kerajaan juga harus berusaha untuk mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar baik daripada pencemaran air, udara, tanah dan bunyi.

Nyatakan kelebihan menjaga alam sekitar.

Kelebihan menjaga alam sekitar adalah membolehkan kita menikmati keselesaan dan menjalankan kehidupan dalam keadaan yang baik. Selain itu, dapat mengekalkan keseimbangan ekosistem dan menjamin sumber air.

Mengapakah kita perlu memulihara alam sekitar?

Kita perlu memulihara alam sekitar untuk mengelakkan kepupusan flora dan fauna kerana kepupusan salah satu daripadanya akan menjejaskan kitaran alam semula jadi.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *